"Mangkang Menua,Mangkang Dunya,Ngetan Ke Bansa!!"

January 5, 2010

Kristian Sarawak menyembah ‘Allah’ sebelum Malaysia terbentuk — Siong Tet

Taken from http://www.themalaysianinsider.com/index.php/opinion/breaking-views/48568-kristian-sarawak-menyembah-allah-sebelum-malaysia-terbentuk–siong-tet

JAN 5 — Penggunaan nama Allah dalam Alkitab dibuat oleh mereka yang datang menyebarkan Injil di Borneo beratus tahun dahulu. Orang-orang ini datang dari Australia dan Britain. Saya sendiri tidak tahu mengapa mereka memilih nama Allah sebagai terjemahan God dalam Alkitab.

Kemungkinan mereka merujuk kepada Alkitab bahasa Arab dan memutuskan untuk menggunakan nama yang sama seperti yang digunakan oleh orang Kristian Arab. Lagi pun orang Kristian Arab muncul lebih awal daripada orang muslim Arab.

Katakan mereka menggunakan nama lain pada masa mula-mula Alkitab diterbitkan dalam bahasa Melayu, kami orang Kristian dari suku-suku minoriti di Sarawak akan terima sahaja. Saya pasti pada masa itu, ketika Sarawak belum bergabung dengan Malaya, tiada masalah menggunakan nama Allah sebab tiada halangan dan larangan dari sesiapa.

Sekarang sudah sekian lama kami menggunakan nama Allah dalam semua ibadah, doa, nyanyian, serta penulisan dan penerbitan dan ini berterusan sehingga terbentuknya Malaysia. Kalaulah orang Sarawak yang beragama Kristian tahu bahawa mereka akan dihalang menggunakan nama Allah setelah bergabung dengan Malaya, mengikut fikiran saya belum tentu terbentuk sebuah negara Malaysia.

Dalam hujah peguam yang mewakili Herald di mahkamah, mereka menunjukkan bukti bahawa sudah ada bahan terbitan Kristian dalam bahasa Melayu sejak lebih kurang 400 tahun yang lampau. Maka dakwaan orang muslim Malaysia bahawa orang Kristian di Malaysia baru sahaja hendak menggunakan nama Allah adalah tidak berasas.

Nama Allah sudah lama kami gunakan. Kenapa sekarang, orang muslim Malaysia hendak menghalang kami daripada menggunakan nama Allah yang sudah sekian lama kami gunapakai, malah sebelum terbentuknya Malaysia lagi.

Suku-suku pribumi di Sarawak tidak fasih berbahasa Inggeris.

Oleh sebab itu mereka tidak mampu memiliki Alkitab dalam bahasa Inggeris yang dipanggil Bible. Namun kami boleh memahami bahasa Melayu/Malaysia. Pada masa sama, agak sukar untuk terjemahkan Bible ke bahasa ibunda suku masing-masing kerana kekurangan pakar bahasa di kalangan mereka.

Maka, untuk memudahkan orang Kristian daripada suku-suku pri bumi ini dapat memperdalamkan pengetahuan mereka dalam kepercayaan Kristian, mereka perlu memiliki satu Bible yang diterjemahkan dalam bahasa yang mereka memahami, iaitu bahasa Melayu loghat Indonesia. Pada masa itu, orang Melayu Malaya belum dikenali sangat oleh suku-suku pribumi Sarawak ini, begitu juga bahasa mereka.

Maka, mereka mendapat terjemahan Bible dalam bahasa Indonesia yang di panggil Alkitab Suci. Kandungan Bible yang merujuk kepada Lord God juga diterjemah sebagai Tuhan Allah tanpa ada sebarang masalah, cuma aman damai dan sukacita. Saya yakin Alkitab pada masa itu dicetak di Indonesia, dan orang muslim di Indonesia tidak pernah dikelirukan iman mereka sampai sekarang.

Pada tahun 16 Sept 1963 maka terbentuklah Malaysia.

Sarawak bergabung dengan Malaya membentuk Malaysia. Sarawak, bersama-sama rakyatnya seperti kami, membawa masuk kepercayaan Kristian kami ke dalam kelompok rakyat Malaysia. Kami tidak pernah diarahkan supaya berhenti guna nama Allah selepas bergabung dengan Malaysia. Kami pun tidak terpikir bahawa suatu hari nanti orang muslim Malaysia akan melarang kami menggunakan nama Allah kerana kami sedia maklum bahasa perkataan Allah adalah dipetik dari bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

Sehinggalah sekarang, baru kami tersentak dan terkejut.

Kami dilarang menggunakan nama Allah dalam Alkitab, dalam semua penulisan dan penerbitan Kristian. Sudah sekian lama kami sudah panggil Dia yang kami sembah sebagai Tuhan Allah, dan sekarang ini dilarang. Saya kasihan memikirkan tentang nenek, datuk dan ibubapa kami di kampung yang tidak tahu menahu bahawa mereka dilarang menyebut nama Tuhan Allah.

Bagaimana kami cucu dan anak-anak mereka hendak menerangkan kepada mereka mengenai larangan ini?

Mereka sudah tentu akan menjawap, “sudah sekian lama kita menyebut nama Tuhan Allah, kenapa sekarang tidak boleh?” Saya yakin, walau dilarang sekalipun, mereka akan tetap menyebut nama Tuhan Allah sampai bila-bila sebab itu adalah nama yang mereka sebut sejak turun temurun.

Orang “modern” atau orang generasi terkini, yang fasih berbahasa Inggeris tidak mempunyai masalah kerana mereka mampu mengerti Alkitab dalam bahasa Inggeris iaitu Bible dan boleh menghadiri kebaktian atau semua aktiviti ibadah, doa, nyanyian dalam bahasa Inggeris di mana-mana tanpa perlu menyebut Allah, melainkan Lord God.

Tetapi orang yang tidak  fasih berbahasa Inggeris terpaksa menggunakan bahasa Melayu/Malaysia. Pada masa dulu, setelah mengikuti sekolah di bawah kerajaan Malaysia, semakin ramai anak-anak pada generasi masa itu fasih berbahasa melayu Malaysia.

Bila bahasa Malaysia menjadi semakin digunakan berbanding bahasa Indonesia, maka wujud satu generasi yang kurang memahami bahasa Indonesia tetapi lebih memahami bahasa Malaysia. Maka, diusahakan satu terjemahan Alkitab dalam bahasa Malaysia yang masih mengekalkan nama Allah.

Salah satu Alkitab terjemahan bahasa Malaysia ada pada simpanan saya dan itulah Alkitab yang sentiasa saya gunakan.

Di kampung sendiri mungkin boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri, tetapi nama Tuhan Allah tetap digunakan. Sebabnya adalah kerana dalam bahasa ibunda, tiada perkataan lain yang sesuai untuk menggantikan nama Allah.

Lagipun kami sudah sebati dengan nama ini kerana sudah dipakai sejak turun temurun. Mungkin ada suku-suku yang telah memilih nama khas dalam bahasa mereka untuk tujuan terjemahan dalam bahasa masing-masing, tapi dalam bahasa suku saya, belum ada.

Jadi dalam kes suku saya, masih kena menggunakan nama Tuhan Allah, lagi pun suku saya kekurangan perkataan. Banyak perkataan yang dipinjam dari bahasa suku atau bangsa lain.

Di bandar, anggota sesebuah gereja itu terdiri daripada pelbagai suku bangsa. Ada gereja yang mengadakan dua sesi kebaktian pada hari ahad, satu sesi untuk orang berbahasa Inggeris, satu sesi untuk orang berbahasa Melayu/Malaysia. Ada juga yang mengadakan sesi untuk bahasa Cina dan Tamil, bergantung kepada keperluan bahasa dalam gereja itu.

Di bandar, saya menghadiri sesi berbahasa Melayu/Malaysia sebab saya kurang fasih berbahasa Inggeris. Dalam gereja terdapat pelbagai suku bangsa, maka kami kena menggunakan bahasa Melayu/Malaysia yang mudah difahami semua orang.

Jadi, cuba fikirkan?

Sampai hatikah orang muslim Malaysia memaksa orang-orang seperti saya dari suku-suku minoriti yang lemah untuk berhenti memanggil Tuhan mereka dengan nama Tuhan Allah? Jangan lupa bahawa kami sudah lama, malah sebelum terbentuknya Malaysia, telah memanggil Tuhan yang kami sembah dengan nama Tuhan Allah.

Andaikata kami semua fasih berbahasa Inggeris, saya yakin Bible tidak akan diterjemah ke bahasa Indonesia/Melayu.

Andaikata pada masa dulu orang yang mula-mula menterjemahkan Bible ke bahasa Indonesia atau bahasa Malaysia memilih nama lain untuk terjemahkan God, dan bukan Allah, kami tidak kisah asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang menciptakan alam semesta, menciptakan bumi serta segala isinya, menciptakan manusia iaitu Adam dan Hawa.

Asalkan nama itu merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh Nabi Abraham, Isa dan Yakub, Tuhan yang disembah oleh Nabi Noh, Tuhan yang disembah oleh Nabi Musa yang membawa orang Israel keluar dari tanah Mesir, Nabi Harun, Tuhan yang disembah oleh Maria (bukan Nabi) yang melahirkan Yesus (Nabi Isa) secara luar biasa tanpa persetubuhan. Bagi kami, nama itu tidak penting, yang penting kami menyembah Tuhan yang sama seperti yang disembah oleh Nabi-Nabi yang tersebut tadi.

Namun begitu, nama Allah sudah turun temurun kami gunapakai untuk berseru kepada Tuhan yang disembah Nabi Abraham dan Nabi-Nabi lain. Nama ini sudah sebati di hati kami. Kami boleh saja tukar nama itu bila-bila masa. Tetapi, sudah sekian lama kami memanggil nama Allah, malah sebelum Sarawak bergabung dengan Malaya. Bayangkan jika seseorang dipaksa menukar nama yang selalu disebutnya untuk berseru kepada Tuhannya kepada nama lain, tentu rasa pelik.

Kami memang ada menyebut nama Tuhan Yesus. Tuhan Yesus merujuk kepada firman Allah yang hidup, yang telah menjelma menjadi manusia melalui kandungan Maria tanpa persetubuhan. Firman itu datang dan hidup ditengah-tengah manusia. Setelah selesai dengan karya penyelematanNya, dimana Dia mati untuk menebus dosa manusia, Dia diangkat ke syurga tempat asalNya. Yesus adalah firman Allah yang hidup. Dia sudah ada sebelum alam semesta diciptakan. Melalui firmanNya yang hidup inilah Allah mencipta segala sesuatu. Allah sendiri berkata kepada manusia, bahawa Yesus itu anakNya. Tetapi masih ramai orang beranggapan bahawa konsep Anak dan Bapa ini sama konsepnya dengan manusia beranak pinak. Anggapan ini tidak tepat.

Maksud Anak di sini adalah simbolik. Ia merujuk kepada kasih yang ada pada Allah di mana Dia rela mengorbankan AnakNya untuk menebus dosa manusia. Bagi manusia, anak merupakan seorang individu yang sangat dikasihi oleh seseorang bapa. Jika seseorang bapa sangat mengasihi anaknya, tidak mungkin dia rela menjadikan anaknya tebusan. Tetapi Allah membuktikan kepada manusia bahawa Dia rela berbuat begitu kerana kasihNya kepada umat manusia sangat dalam. Panggilan anak Allah itu cuma satu simbolik.

Maria bukan isteri kepada Allah. Maria adalah manusia biasa yang dipakai Allah untuk menyempurnakan tujuanNya sendiri. Maria melahirkan Tuhan Yesus dalam keadaan manusia sejati. Maria seorang yang sangat diberkati olah Allah. Teori yang mengatakan Allah itu beranak dan diperanakan bukan berasal dari Alkitab orang Kristian. Kalau tak salah saya, nabi Isa dalam Al-quran juga disebut Kalam Allah. Minta maaf kalau tidak benar.

Sekali lagi saya ulangi. Sampai hatikah orang muslim Malaysia memaksa orang-orang seperti saya dari suku-suku minoriti yang lemah berhenti memanggil Tuhan mereka dengan nama Tuhan Allah? Jangan lupa bahawa kami sudah lama, malah sebelum terbentuknya Malaysia, telah memanggil Tuhan yang kami sembah dengan nama Tuhan Allah.

Begitulah sedikit komen dari saya. Saya tidak berniat hendak berdebat atau menyinggung perasaan atau memperlekehkan mana-mana pihak. Ini merupakan pandangan peribadi.

Penulis adalah dari Suku Kenyah Badeng di Sarawak.

3 Comments »

  1. Saya kurang senang apabila seorang yang merasakan diri penjajah dunia dari abad lama dahulu nya hingga kini yang mengatakan penyebaran nama ALLAH ini di sebar oleh Kristian ~ alangkah senang hati jika negara yang disebut itu tahu apa yang tersenarai dalam artikel yang menghina sesama manusia yang merestui Yang Maha Ehsa ..jika ia datang dari luar negara ~ dari mana kah Kristian ini muncul ??Dari mana datang nya agama-agama ini ??Adakah bkn dari ALLAH yang telah mencipta Bumi ini??Atau dari kamu yang mengganggap diri sebagai ALLAH ?? Satu kebencian mula muncul dalam artikel yang mengatakan Kristian adalah penyebar sesat !

    Comment by Freak89 — January 27, 2010 @ 6:24 pm | Reply


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: