"Mangkang Menua,Mangkang Dunya,Ngetan Ke Bansa!!"

January 11, 2010

Erti dan kesan isu ‘Allah’ dalam politik Sarawak

 

Taken from  MalaysiaKini

Baru-baru ini timbul lagi isu penggunaan perkataan Allah oleh sesetengah masyarakat Kristian yang menutur Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sesama sendiri.

Sebenarnya kontroversi perkataan Allah ini sejak dulu lagi, tetapi oleh kerana penggunaan Internet yang lebih canggih dan masyarakat yang kian berilmu, maka perdebatan ini dianggap sesuatu yang baharu.

Yang penting kita fahami, apabila sesuatu bahasa digunakan untuk satu jangka masa yang lama, susah untuk golongan yang menggunakannya bertukar yang mendadak.

Jadi setuju atau tidak dengan penggunaan ‘Allah’, pertukaran mendadak memang tidak mungkin berlaku, kerana inilah hakikat pembentukan bahasa.

Tetapi isu ini tidak saya akan bincangkan, kerana lebih ramai lagi yang arif dan bijaksana tentang isu ini. Isu yang saya akan bincangkan, reaksi masyarakat Sarawak dari segi politik.

Keinginan untuk mengarang esei ini timbul apabila saya membaca komen-komen pembaca di laman-laman web berita. Ada yang bertanya sama ada isu ini boleh menukar persepsi politik masyarakat Sabah dan Sarawak terhadap pemerintahan kerajaan BN.

Memang semenjak tahun 2008 lagi, ramai di Semenanjung Malaysia yang menyokong Pakatan Rakyat bertanya-tanyakan apa yang akan menyebabkan masyarakat Malaysia Timur menyokong Pakatan Rakyat, terutamanya Sarawak yang memegang banyak kerusi.

Suka atau tidak, strategi kemenangan Pakatan Rakyat bergantung kuat pada negeri Sabah dan Sarawak.

Saya tidak dapat bercakap banyak tentang Sabah, yang dari dahulunya lebih radikal daripada Sarawak dari segi pandangan politik.

Saya memberikan perspektif dalam artikel ini sebagai seorang yang beridentitikan anak Sarawak, bangsa Malaysia, tinggal di Kuala Lumpur.

Dari perspektif seorang anak Sarawak, isu ini tidak difahami sebagai isu Umno versus Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat tidak kuat di Sarawak. Isu ini difahami sebagai satu lagi isu ‘orang Semenanjung membawa kontroversi Semenanjung ke bumi kenyalang’.

Perspektif ini memang lama berpijak di bumi Sarawak – perasaan sangsi terhadap masyarakat Semenanjung Malaysia yang tidak memahami budaya tempatan Sarawak.

Perspektif ini sukar diubah kerana maklumat yang diterima bukannya datang daripada Internet, lokasi gagasan Pakatan Rakyat bertapak, tetapi dari media massa dan mulut orang lain, word of mouth.

Satu lagi perkara penting, dari dahulu lagi gereja-gereja dan organisasi-organisasi Sarawak tidak banyak bermain politik. Amat-amatlah jarang sekali untuk mendengar golongan paderi atau golongan pastor bercakap tentang isu politik di Sarawak.

Ada dua sebab utama konsep ‘jangan main politik’ wujud di kalangan gereja-gereja Sarawak.

Pertamanya, dari segi isu praktikal, tidak ada sebab gereja-gereja Sarawak terlibat dalam politik. Dari segi sejarahnya kerajaan negeri Sarawak mempunyai hubungan yang baik dengan gereja-gereja Sarawak.

Ada gereja-gereja Sarawak yang amat besar jika dibandingkan dengan saiz gereja di Semenanjung Malaysia.

Bukan sahaja gereja besar, malah rumah ibadat penganut Buddha juga amat besar. Pelbagai mazhab agama Buddha wujud di bandar raya Kuching, umpamanya satu tokong untuk dewi Guan Yin, dan patung dewi itu juga besar.

Jadi kalau dilihat dari segi infrastrukturnya sahaja, kebebasan beragama di Sarawak boleh dikatakan kurang sekatannya jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.

Bentuk populasinya sebagai faktor utama. Kalau tidak silap saya, di Sarawak lebih kurang 40 hingga 50 peratus masyarakatnya beragama Kristian, dan jumlah ini belum mengambil kira golongan penganut Tao dan Buddha yang juga amat besar dan berpengaruh.

Sebab kedua, gereja Sarawak tidak banyak berpolitik kerana kesan ajaran agama Kristian mengajar mereka begitu. Penglibatan masyarakat Kristian dalam bantahan politik boleh disimpulkan kepada dua insiden dalam Alkitab.

Dalam surat daripada salah satu pengikut Nabi Isa, Simeon-Peter, kepada golongan Kristian pada masa itu – yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Rom yang kejam – Peter telah menasihati mereka untuk tetap berdoa dan menurut perintah Maharaja, kerana di dunia ini tidak ada satu kuasa kerajaan yang wujud tanpa kehendak Tuhan.

Dengan kata lain, penganut Kristian haruslah memberi taat dan hormat kepada kerajaan walaupun kadangkala wujud perasaan tidak puas hati terhadap pemerintah.

Namun begitu, tidak salah untuk golongan Kristian menuntut hak mereka sebagai warganegara berlandaskan undang-undang negara. Umpamanya Paul, yang pernah dituduh mengakibatkan rusuhan tanpa bukti, telah menuntut haknya sebagai warganegara sah Empayar Rom untuk membela dirinya berlandaskan undang-undang Rom.

Kisah ini termasuk dalam surat Luke yang ditujukan kepada Theophilus, yang menceritakan sejarah awal agama Kristian.

Jadi oleh kerana isu ‘Allah’ ini juga isu politik, ada beberapa perkara yang harus difahami. Satu, golongan pemimpin masyarakat Kristian di Sarawak tidak suka bermain politik.

Secara amnya agama Kristian menggalakkan taat dan hormat kepada kerajaan-kerajaan duniawi, melainkan sekiranya hak untuk melaksanakan tuntutan agama tertindas.

Oleh kerana hak beragama di Sarawak tidak ditindas oleh kerajaan negeri, jadi pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak tidak akan melibatkan pengaruh gereja dalam isu politik negeri.

Tetapi oleh kerana isu ini sememangnya merupakan isu politik, maka pemahaman politik di Sarawak akan terbentuk. Dan akibat isu ini, persepsi masyarakat Kristian Sarawak memang sudah dibentuk.

Dan persepsi ini sukar diubah. Bagi orang Sarawak, isu Allah ini “satu lagi isu Semenanjung”.

Kata orang Sarawak, dulu tidak ada isu perkauman di Sarawak. Selepas menyertai Malaysia, isu perkauman sikit demi sedikit menyelinap ke Sarawak. Kata orang Sarawak, dulu orang Muslim dan orang Melayu di Sarawak tidak kisah banyak tentang tempat makan, makan asal halal.

Tetapi sekarang, kesan dari Semenanjung, ada pula yang berkata bahawa tidak boleh guna sudu, garfu dan pinggan bekas orang bukan Islam. Kesannya jurang antara masyarakat Sarawak terbentuk, kini antara Muslim dengan bukan Muslim. Orang Muslim tidak boleh makan dengan orang lain.

Sekarang timbul pula isu penggunaan ‘Allah’. Isu ini satu lagi isu Semenanjung. Di Semenanjung, orang Islam ramai. Orang Kristian dan orang Sabah-Sarawak sedikit. Memang bukan perkara mengejutkan.

Tetapi bagaimana pula dengan hak untuk melaksanakan tuntutan agama masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak? Adakah hak tersebut tidak diambil kira, hanya semata-mata kerana mereka tinggal di Sabah atau Sarawak?

Tidak dapat kita elakkan bahawa pada masa yang sama isu ini diperdebatkan di Internet, sistem perundangan negara dan sebagainya, berlakunya isu Marina Undau, yang dikira ‘bukan bumiputera’ kerana darahnya kacukan Iban-Cina.

(Permohonan Marina untuk mendapatkan tempat belajar di matrikulasi ditolak – editor).

Wujudnya persepsi bahawa masyarakat bumiputra Sarawak digelar bumiputra, tetapi mereka hanyalah sekadar bumiputra kelas kedua.

Isu ‘Allah’ ini hanya mengukuhkan perasaan sangsi masyarakat Sarawak terhadap politik Semenanjung dan bukannya mengukuhkan sangsi terhadap Umno, seperti yang dianggap oleh segelintir penyokong Pakatan Rakyat di Semenanjung.

Pada masa sekarang Pakatan Rakyat, yang mempunyai sokongan yang amat tinggi di kalangan orang Semenanjung, masih dianggap sebagai ‘parti Semenanjung’ di Sarawak.

Kesimpulannya begini: secara umumnya, masyarakat Kristian di Sarawak masih tidak akan berganjak dan menyokong parti-parti politik lain demi bantahan atau ketidakpuasan hati terhadap isu ‘Allah’.

Agama Kristian tidak menggalakkan kerajaan digulingkan, yang ada sekadar menuntut hak secara perbahasan berlandaskan undang-undang.

Apabila isu seperti kontroversi ‘Allah’ ini berlaku, persepsi masyarakat Sarawak bukannya ‘ini masalah Umno’ tetapi “masyarakat Semenanjung yang tidak bertolak ansur”.

Di bumi kenyalang, isu kemenangan sesebuah parti politik masih bergantung kepada isu-isu lama. Isu pembangunan, contohnya.

Semasa saya masih remaja, pernah juga parti DAP menang besar di bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya. Kebanyakannya hasil ‘protest vote’, undi bantahan.

Apa yang dibantah bukanlah isu korupsi atau penindasan; yang dibantah bil elektrik SESCO tahun dulu tinggi. Itulah isu-isu politik orang Sarawak.

Catalina Rembuyan, seorang penyelidik, anak watan Sarawak yang kini tinggal dan bekerja di Semenanjung. Artikel ini, asalnya dimuatkan di laman sosialnya di Facebook, diterbitkan semula dengan keizinan penulis.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: