"Mangkang Menua,Mangkang Dunya,Ngetan Ke Bansa!!"

February 2, 2010

Dr. Stephen Rundi sendiri belum faham maksud hak NCR

Filed under: NCR Land Issues — Pengayau @ 3:39 am
Tags: ,

Taken from Sebana Menoa

Pada 24 Januari lalu, sebuah berita disiarkan di laman web Sarawak Update di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena merangkap Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, YB Dr. Stephen Rundi mengingatkan pemilik tanah di Sarawak supaya memastikan tanah tersebut benar-benar hak mereka sebelum membuat sebarang tuntutan kepada kerajaan.

Beliau memberi amaran supaya pemilik tanah jangan menggunakan pembangkang atau melepaskan geram melalui penulis blog dan media siber untuk memperjuangkan “hak” mereka. Beliau menyalahkan pemilik tanah atau mereka yang mewarisi dan menduduki tanah kerana tidak dapat membezakan di antara tanah hak adat bumiputera, NCR dan tanah temuda.

“Ingin saya maklumkan bahawa tanah NCR ialah tanah yang diwarisi turun menurun sebelum 1958 manakala tanah temuda ialah tanah yang diduduki selepas tahun tersebut (1958)”, kata Dr. Stephen Rundi. Jelas dari kenyataan Dr Stephen Rundi di atas, beliau sendiri masih lagi belum faham maksud dan konsep NCR menurut undang-undang dan juga dari segi adat masyarakat Iban.

Di sini kami ingin mengambil kesempatan itu memberi sedikit panduan kepada Dr. Stephen Rundi mengenai maksud NCR. NCR adalah kata singkatan untuk Native Customary Rights di dalam Bahasa Inggeris. Jika diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia NCR bermaksud Hak Adat Orang Asal.

Hak Adat Orang Asal ke atas tanah wujud apabila seseorang atau sesebuah masyarakat Orang Asal meneroka sesuatu kawasan hutan untuk tujuan membuat rumah atau tempat kediaman, bercucuk tanam, memburu, menangkap ikan, mencari hasil-hasil hutan, membina tapak perkuburan, menggunakan kawasan tersebut sebagai laluan perjalanan dan sebagainya untuk menyara kehidupan mereka.

Tanah adat Orang Asal atau Native Customary Land bermaksud seseorang atau sesebuah masyarakat Orang Asal telah mendapatkan hak NCR ke atas tanah melalui amalan adat seperti apa yang disenaraikan di atas. Bagi masyarakat Iban, tanah adat berkait rapat dengan amalan pertanian dan kepercayaan tradisi mereka. Masyarakat Iban tinggal di dalam wilayah tanah adatnya atau dikenali sebagai pemakai menoa di dalam Bahasa Iban.

Lokasi pemakai menoa amat penting untuk masyarakat Iban kerana ia merupakan punca sumber-sumber asli seperti tanah yang subur untuk pertanian, air, ikan dan hidupan air, binatang liar dan hasil-hasil hutan. Beberapa kumpulan keluarga akan berkumpul untuk membina sebuah rumah panjang untuk hidup di kawasan pemakai menoa tersebut.

Kawasan pemakai menoa tersebut mempunyai sempadan atau dikenali sebagai garis menoa dengan komuniti yang lain. Sebelum pemakai menoa diwujudkan, masyarakat Iban akan meraikan sebuah upacara panggol menoa, iaitu upacara yang menandakan bahawa penebasan pertama hutan dara telah dilakukan dan kawasan tersebut boleh didiami dan diusahakan untuk pertanian.

Dari masa ke semasa bilangan penduduk di rumah panjang tersebut akan bertambah, maka rumah panjang tersebut akan dipanjangkan untuk menampung ahli-ahli keluarga baru atau jika rumah tersebut sudah uzur maka komuniti tersebut akan berpindah ke sebuah kawasan baru dan membina rumah panjang baru yang masih di dalam sempadan kawasan pemakai menoa mereka.

Kawasan rumah panjang lama pula dikenali sebagai tembawai. Pemakai menoa termasuk tanah temuda (tanah pertanian), tembawai (kawasan penempatan lama), pendam (tapak perkuburan) dan pulau (kawasan hutan di mana hasil-hasil hutan diperolehi). Garis menoa adalah sempadan yang menentukan kawasan pemakai menoa sesuatu komuniti dengan komuniti yang lain.

Garis temuda pula adalah sempadan di antara temuda seseorang dengan temuda orang yang lain. Sempadan-sempadan tesebut selalunya ditentukan mengikut ciri-ciri bentuk mukabumi seperti gunung, rabung, sungai, batu ataupun tanda yang lain seperti pokok tapang dan rumpun buluh. Jika kita lihat dari sudut undang-undang pula (dari Kanun Tanah Sarawak 1958), tanah adat diberi maksud sebagai: (1) tanah di mana hak NCR ‘telah diwujudkan secara komunal atau sebaliknya, mengikut undang-undang sebelum 1hb Januari 1958, dan masih lagi sah diperlakukan’, (2) tanah di dalam rizab di bawah seksyen 6, atau (3) tanah Interior Area Land di mana hak NCR ‘telah diwujudkan mengikut undang-undang melalui permit di bawah seksyen 10’.

Selepas 1hb Januari 1958 pula hak NCR masih lagi boleh diwujudkan: (1) jika masyarakat Orang Asal masih lagi tinggal ataupun masih menjadi ahli masyarakatnya yang tinggal di dalam kawasan pemakai menoa mereka, (2) jika masyarakat Orang Asal mendiami kawasan tanah tersebut dengan menebang hutan dara, menanam pokok buah-buahan, bercucuk tanam, membina tapak perkuburan atau tempat keramat, mendapatkan hak laluan ke atas mana-mana kelas tanah dan apa-apa cara mengikut undang-undang seperti yang termaktub di seksyen 5(2) Kanun Tanah Sarawak 1958, (3) mendapatkan permit mengikut seksyen 10 Kanun Tanah Sarawak 1958.

Beberapa keputusan Mahkamah juga menegaskan konsep NCR ini menurut adat resam masyarakat Orang Asal. Dr. Stephen Rundi sepatutnya membaca keputusan kes Mahkamah Tinggi Nor Anak Nyawai dan yang lain lawan Borneo Pulp Plantation Sdn. Bhd., kes rayuan di Mahkamah Persekutuan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri dan Kerajaan Negeri Sarawak lawan Madeli bin Salleh dan baru-baru ini dua kes Mahkamah Tinggi yang telah diputuskan iaitu kes Agi Anak Bungkong dan yang lain lawan Ladang Sawit Bintulu Sdn. Bhd. dan Mohd Rambli Kawi lawan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching.

Kami juga mengesyorkan agar Dr. Stephen Rundi merujuk juga kepada laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bertajuk Legal Perspectives on Native Customary Land Rights in Sarawak. Kami berharap selepas membaca sumber-sumber rujukan tersebut, Dr. Stephen Rundi tidak lagi membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan beliau sendiri mempunyai perspective yang lebih luas mengenai maksud NCR dan konsepnya mengikut adat dan undang-undang sedia ada di Sarawak.

Kenyataan Akhbar ini ditulis oleh: Mark Bujang, Pengarah Ekesekutif BRIMAS

1 Comment »

  1. saya terkejut YB sendiri anak jati sarawak tak faham maksuk tanah NCR?
    Mungkin YB DR stephen rundi ini bukan warganegara sarawak kot?atau mata dah gelap kena RM kot? maka hak tanah adat dah tak ada makna bagi YB. Saya nak tanya YB siapa lagi yang nak mempertahankan hak tanah adat Orang dayak?
    Cuba YB lihat ke semenanjung, bagaimana Orang UMNO mempertahankan hak orng melayu ,kalau Orang semenanjung boleh mempertahankan hak mereka kenapa YB sebagai wakil rakyat orang dayak tak boleh?kenapa orang tak boleh mempertikaikan hak orang?sedang hak tanah adat orang dayak boleh di pertikaikan?

    Comment by empuluk — April 16, 2010 @ 8:40 pm | Reply


RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: