"Mangkang Menua,Mangkang Dunya,Ngetan Ke Bansa!!"

December 4, 2010

Baru Bian: Sentimen rakyat Sarawak kini lebih hangat berbanding tahun 1987

Filed under: Pakatan Rakyat — Pengayau @ 1:00 am
Tags:

Taken from Merdeka Review

Pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1987 sememangnya igauan Barisan Nasional, menyaksikan bagaimana kebangkitan rakyat, terutamanya Dayak yang hampir menjangkau ambang untuk menggulingkan kerajaan BN di bumi kenyalang ini.

“Pada tahun 1987, sentimennnya DayakismDayakism sangat hangat, menjadi tema, isu kempen.  Sekarang ini bukan lagi Dayakism.  Sekarang ini adalah keadilan.  Sekarang ini adalah tentang tanah adat, yang memberi kesan bukan hanya kepada orang Dayak, tetapi Melayu dan juga orang Cina dalam perkara pembaharuan lesen.  Yang ini kalau kita banding dengan…bagi saya dua tiga kali panas daripada 1987, pada isunya.”

Begitulah keyakinan yang ada pada Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian (gambar kiri) dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 26 November 2010, di Hotel Armada sebaik sahaja beliau mendarat di Selangor untuk menghadiri Kongres Nasional PKR yang berlangsung pada hari keesokannya.

Malah, beliau mengingatkan, “Kalau rakyat yang ingin berubah, anda tidak dapat menghentikannya.” Dan mungkin itu sebabnya tema kempen Pakatan Rakyat kini berbunyi “Berubahlah, just change“, katanya.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1987, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) memenangi 15 kerusi DUN, ditambah 5 kerusi dari PERMAS, melalui pakatan yang bergelar Kumpulan Maju.  Daripada jumlah 48 kerusi DUN, BN yang terdiri daripada PBB (14), SUPP (11) dan SNAP (3) hanya memperolehi 28 kerusi.  Dengan kata lain, majoriti 2/3 BN di DUN Sarawak telah dinafikan.

Untuk Baru Bian, kuasa menumbangkan kerajaan BN di negeri Sarawak kini berada pada kemuncaknya dengan segala syarat yang sedia ada.  Dari segi persefahaman di kalangan pembangkang, Pakatan Rakyat merupakan pakatan parti politik yang paling kukuh berbanding segala bentuk kerjasama pembangkang yang lalu.  Dari segi penyebaran maklumat, kemudahan telekomunikasi seperti telefon bimbit, internet, malah stesen radio yang lebih bebas, digunakan sepenuhnya untuk menangkis serangan jentera perintah kerajaan.

Antara harapan dengan realiti

Sememangnya, politik ada kalanya ditentukan angka.  “Harapan” Baru Bian diuji dengan statistik sebermulanya wawancara ini.  Dalam pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 2006, BN memenangi 62 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.  Malah dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, pembangkang (DAP) hanya menang satu kerusi parlimen di Kuching (gambar bawah, kanan), daripada 31 kerusi parlimen, sebelum PRK Sibu pada Mei 2010 yang menambah satu lagi kerusi (gambar bawah, kiri).  Lebih-lebih lagi, sebanyak enam kawasan parlimen BN dimenangi dengan majoriti lebih 10 ribu undi, biarpun dilanda “tsunami politik” di Semenanjung.

“Bagi kita, yang selalu dikatakan dalam politik tidak ada sesuatu yang mustahil (impossible).  Kita boleh menoleh ke belakang dan tengok apa yang telah terjadi dalam tahun 2006 pada peringkat negeri, dan tahun 2008 bagi parlimen,” katanya.

“Saya berpendapat, saya haraplah, apa yang sudah jadi, khasnya dengan keputusan tahun 2008 itu… Sekarang ini saya berpendapat, setelah lawatan kita di akar umbi, kita merasa satu sentimen yang agak kuat, menghendakkan satu perubahan.  Ini adalah satu sentimen yang luar biasa sejak 8 Mac 2008,” sambung Baru Bian.

Baru Bian semestinya menyedari bahawa “harapan besar” tanpa digalas “kerja akar umbi”, hanya tinggal “retorik” semata-mata.  Beliau yang dikempenkan sebagai “bakal Ketua Menteri Sarawak” di laman facebook, dipersoalkan sejauh manakah persiapan PR ke arah pengambil-alihan kerajaan negeri Sarawak.

Sejauh manakah persiapan PR?

Beliau bersetuju bahawa calon pilihan raya perlu turun untuk bekerja bersama rakyat di akar umbi, untuk meraih kepercayaan dan sokongan penduduk tempatan.  Usaha sedemikian semestinya memakan masa.  Pendek kata, ia mungkin terlalu lewat untuk mendapat sokongan penduduk seandainya calon dikenalpasti pada saat-saat terakhir.  Persoalannya, sejauh manakah PR bersiap-sedia dalam isu rundingan pengagihan kawasan pilihan raya?

“Tentang pengagihan konsituensi, sekarang ini kita sudah bermesyuarat dengan Pakatan Rakyat.  Dua kali sudah.  Dalam mesyuarat itu, kita sudah bersetuju dengan kira-kira 90% kerusi ataupun konsituensi DUN di Sarawak.  Hanya sedikit, mungkin 10% daripada 71 kerusi itu belum lagi disetujui.  Itu kita sudah serah kepada pemimpin kita di Kuala Lumpur, PR Presidential Council untuk kita terus berbincang,” jawapnya.

Ketika ditanya sama ada “calon telah dikenalpasti”, Baru Bian sekadar berkata beliau percaya nama calon untuk parti masing-masing telah disenaraikan, namun perlu dibincang, dikaji sebelum membuat keputusan.  MerdekaReview mempersoalkan, beliau bersetuju bahawa calon perlu membuat persiapan awal untuk bekerja bersama penduduk untuk meraih sokongan, tetapi pada masa yang sama, calon PR masih belum dikenalpasti – pada saat-saat Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud sudah mendapat ilham tentang tarikh pilihan raya negeri akan datang…

“Ya betul!  Itu betul.  Tetapi itu tidak bermaksud di semua konsituensi itu ada dua, tiga, (atau) empat orang.  Ada juga konsituensi yang obvious (nyata), di mana satu sahaja calon yang kita ada.  Ada di tempat lain mungkin dua, ada juga tiga (orang).  Itu biasa.  Tapi kita menggalakkan mereka untuk bekerjasama, untuk menjalankan aktiviti bersama-sama di kawasan mereka itu.  Dan akhirnya siapa yang patut (bertanding)… kita anggap yang boleh menang, itulah calon kita!”

Berhubung “Autonomous

Selain “angka”, “sentimen” cukup penting untuk menentukan iklim politik.  “Autonomous“, antara sentimen yang dimainkan di Malaysia Timur.  Dalam PRK Batu Sapi baru-baru ini, “Sabah untuk orang Sabah” menjadi slogan yang dilaungkan oleh SAPP; ketika PRK Sibu pula, SUPP menuduh DAP membawa politik kucar-kacir dari Semenanjung ke Sarawak.

Apakah sentimen ini masih menebal, sehingga gagal ditembusi parti-parti politik dari Semenanjung?

“Bagi kita di PKR-Pakatan Rakyat, ini tidak menjadi masalah yang besar.  Itulah sebab kita masuk bersama-sama dengan PR ataupun PKR.  Kerana kita mengaku dan bersetuju, bahawa Sabah dan Sarawak harus bersatu dengan Semenanjung.  Dan parti politik di Sabah-Sarawak harus bekerjasama dengan parti politik di pusat, Kuala Lumpur.”

Beliau menyambung, “Kerana ini adalah sangat penting.  Penting kerana kalau kita nak autonomous, dan kita tidak ada kuasa di pusat, kita akan menghadapi masalah yang besar.  Misalnya, di Sabah dahulu bila PBS (Parti Bersatu Sabah) menjadi perintah negeri, dan di pusat dia tak ada kuasa.  Kerana itu banyak perkara yang tidak boleh diteruskan.  Visi-visi kita, dasar yang mungkin nak dilaksanakan, tidak dapat dilaksanakan.”

Baru Bian menganggap isu ini skadar “persepsi” yang ditimbulkan melalui kempen BN, malah parti komponen BN di Sarawak kini menyerang PKR sebagai parti politik yang bukan tempatan atau Timur, tetapi dari Semenanjung.

“Tetapi, kalau kita tengok mereka juga…Walaupun PBB adalah parti Sarawak, mereka ini adalah dalam Barisan Nasional.  Ada bekerjasama dengan UMNO, dengan MCA, dengan Gerakan, dengan parti di Semenanjung,” beliau kemudian menegaskan, “Semenanjung atau Timur dalam politik tidak bermakna bagi saya, bagi yang dalam PKR ini – kalau parti politik itu tidak memperjuangkan dan mempertahankan hak kita di Sabah dan Sarawak.”

Beliau mempersoalkan, “Apakah ertinya?  Tidak ada maksud walaupun parti politik itu dari Sabah dan Sarawak tetapi tidak berani dan tidak mampu mempertahan dan memperjuangkan hak kita.  Tidak ada ertinya!”

“Kalau parti politik dari Semenanjung dan dia faham masalah kita di Sabah-Sarawak, dan memberikan kuasa itu dan mempertahankan hak-hak itu, tidak ada masalah.  Ini adalah satu kempen, strategi BN di Sarawak supaya orang tempatan, orang Sabah dan Sarawak tidak menyokong PKR,” jelasnya.

Ketika ditanya, Baru Bian berharap strategi BN ini tidak berkesan, sebaliknya bertekad untuk membawa mesej ini ke peringkat akar umbi untuk menangkis kempen BN.  Pengamatannya cukup memberangsang buat dirinya, “Bagi pengalaman saya, dalam perjalanan saya ke kawasan-kawasan di seluruh Sarawak, mereka ada perubahan.  Kerana sekarang ini mereka pun tahu, bahawa di Semenanjung sejak Mac 2008, terdapat lima negeri yang sudah tumbang (dikuasai Pakatan Rakyat).  Dan ada perubahan.  Di kawasan saya misalnya, orang tua-tua, orang kampung pun sekarang mengatakan ini lain.  Kita boleh menubuhkan satu kerajaan yang baru.  Jadi, ia mengubah persepsi itu.”

“Kerana itu, mereka anggap ini sesuatu perkara yang boleh diteruskan, boleh dilaksanakan di Sarawak.  Jadi, saya tak lihat itu sebagai masalah, tetapi, sekali lagi kita perlu terus membawa mesej ini ke akar umbi.”

“Rakyat sedar punca masalahnya BN”

Baru Bian menceritakan bagaimana lawatan Menteri Besar mahupun Ketua Menteri Pakatan Rakyat, misalnya Khalid Ibrahim, Lim Guan Eng dan lain-lain ke Sarawak memberi impak yang besar terhadap penduduk tempatan.  Malah, kehadiran pemimpin PAS ke Sarawak turut membuka pandangan penduduk Sarawak, apabila menjelaskan pendirian mereka dalam isu agama.

MerdekaReview berkongsi maklum balas yang diterima daripada sesetengah rakyat Sarawak, di mana mereka dipropagandakan untuk mempercayai bahawa “kacau-bilau” dalam politik sebenarnya ditimbulkan dari Semenanjung, khususnya PAS dalam isu agama, mengambil contoh penggunaan kalimah Allah.

Baru Bian, seorang Dayak yang menganuti agama Kristian melontarkan pandangan sebaliknya.  “Tidak, sebenarnya ini adalah satu isu yang saya tahu mendalam, sebagai seorang Kristian di Sarawak.  Dia timbul kerana BN.  Mereka tahu ini bukan isu yang ditimbulkan PAS, tetapi BN atau perintah sekarang ini.”

Beliau berkata, keterangan diberikan kepada rakyat selepas kes penggunaan kalimah Allah dibawa ke mahkamah.  Malah, Pesuruhjaya PAS di Sarawak telah mengulangi pendirian baru-baru ini, bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan muslim.

“YB BN, wakil rakyat kita dari golongan Kristian misalnya, tidak berani membuat pendirian dalam isu ini.  Dan mereka sekarang faham bahawa ini adalah satu dasar perintah sekarang, BN-UMNO,” kata Baru Bian. (Bahagian pertama, bersambung)

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.  Wawancara ini dijalankan oleh Lim Hong Siang dan Leong Khong di Hotel Armada pada 26 November 2010.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: