"Mangkang Menua,Mangkang Dunya,Ngetan Ke Bansa!!"

January 4, 2010

Isu Kalimah


Taken from Khalid Samad(MP for Shah Alam) Blogs  http://www.khalidsamad.com/2010/01/isu-kalimah.html

Isu Kalimah

Isu kalimah ‘Allah’ kembali mendapat perhatian umum semenjak keputusan mahkamah untuk membenarkan majalah ‘The Christian Herald’ menggunakannya. Ada yang menyatakan saya menyokong malah menggalakkan penggunaan perkataan Allah oleh masyarakat Kristian. Sebenarnya kenyataan tersebut tidak benar. Saya tidak menyokong ataupun menggalakkannya. Saya sekadar menyatakan bahawa penggunaan kalimah tersebut oleh masyarakat bukan Islam merupakan satu perkara yang diharuskan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan kebiasaan masyarakat antarabangsa, khususnya masyarakat Arab.

Kenyataan saya sebelum ini merupakan ‘a statement of fact’ atau satu kenyataan fakta dan soal saya menyokong atau menggalakkannya tidak timbul sama sekali. Ianya dipohon bukan oleh saya tetapi oleh sebahagian masyarakat Kristian tanpa apa-apa dorongan dari saya. Namun, apabila saya ditanya, saya menyatakan fakta bahawa pada dasarnya tiada halangan untuk orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah kerana sudahpun digunakan di banyak negara dan diperakui oleh Al-Quran sendiri. Hujjah-hujjah berhubung persoalan ini telahpun saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini.

Apa yang saya hendak tegaskan di sini ialah bahawa yang menentukan Islam atau tidak Islam bukan dengan penggunaan kalimah Allah tetapi kefahaman terhadap Allah sebagai Tuhan yang Esa. Ini disebut sebagai konsep ‘Tauhid’. Itulah sebabnya mengapa apabila seseorang memeluk agama Islam dia mengucap “Aku naik saksi tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah”. Ini bahagian pertama dari dua kalimah syahaadah. Ucapan ini berbentuk penafian dan penolakkan akan wujudnya tuhan-tuhan lain selain Allah. Ianya bukan sekadar mengatakan “Allah adalah Tuhan” tetapi lebih dari itu ia juga menolak wujudnya tuhan-tuhan lain. Kalau kita perhati dan fikirkan sejenak dengan mata hati, maka kita akan memahami sebabnya.

Masyarakat Jahilliyah pada zaman Rasulullah (SAW) memang percaya pada Allah. Namun mereka juga percaya pada tuhan-tuhan rekaan mereka sendiri yang mereka dakwa adalah anak pada Allah atau pengantara di antara manusia dan Allah. Termasuk di dalam kategori tuhan-tuhan palsu ini adalah Al-Latta wal Uzza dan beratus-ratus lagi tuhan yang mereka letakkan di keliling Kaabah pada masa itu.

Di antara bukti bahawa masyarakat Jahilliyah menggunakan kalimah Allah adalah dalam kisah surat perjanjian pemulauan kaum Bani Hashim oleh kaum Quraisy di mana akhirnya surat perjanjian tersebut telah habis dimakan serangga. Yang tinggal hanya mukaddimah surat tersebut yang berbunyi, “BismikaLlahhumma” atau ‘Dengan namamu Allah, Tuhan kami’.

Walaupun kaum Musyrikin zaman Nabi (SAW) percaya pada Allah dan menggunakan kalimah ‘Allah’, ini tidak bermakna mereka telah Muslim. Mereka tetap kafir musyrik walaupun mereka percaya kepada Allah dan menggunakan kalimat ‘Allah’. Yang menjadikan mereka musyrik adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan mengadakan tuhan-tuhan lain yang turut disembah.

Itulah sebabnya apabila seseorang memeluk agama Islam dia menegaskan keEsaan Allah. Dia menegaskan keEsaan Allah supaya membezakan pendiriannya dari mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak dan sekutu. Kepercayaannya terhadap keEsaan Allah yang menjadikannya Muslim bukan kepercayaannya terhadap wujudnya Allah semata-mata.

Begitu jugalah keadaannya berhubung golongan Ahlul-Kitab ia itu Yahudi dan Nasrani. Konsep Trinity pegangan orang-orang Nasrani telah pun wujud pada zaman Rasulullah (SAW). Walaupun mereka turut menggunakan kalimah ‘Allah’, tetapi kepercayaan ummat Islam dibezakan dari kepercayaan mereka melalui konsep keEsaan Allah yang dibawa Islam. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menegur kesesatan kepercayaan orang Nasrani yang mendakwa Isa (AS) sebagai anak Allah dan Allah sebagai satu dari tiga. Ini semua ditegur walaupun pada masa yang sama orang Nasrani terus menggunakan kalimah Allah. Di antara ayat-ayat ini adalah Ayat 72 dan 73 Surah Al-Maidah di mana Allah berfirman,

“Telah menjadi kafir mereka yang menyatakan sesungguhnya Allah adalah Al-Masih anak Mariam…” (ayat 72)

“Telah menjadi kafir mereka yang menyatakan sesungguhnya Allah adalah yang ke-tiga dari tiga…”

Dalam kedua-dua ayat ini tidak dapat dinafikan bahawa kaum Nasrani atau Kristian menggunakan kalimah Allah tetapi kepercayaan mereka yang menolak keEsaan Allah menjadikan mereka kafir. Tiada kutukan dari Allah terhadap penggunaan kalimah Allah oleh mereka.

Andaian bahawa orang Nasrani sekarang berpegang kepada konsep Triniti dan orang Nasrani pada zaman Rasulullah tidak dan oleh itu mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah adalah tidak berasas. Ini jelas dari ayat-ayat tersebut yang diturunkan pada masa itu dan menegur kepercayaan orang Nasrani pada masa itu.

Konsep Tauhid yang menentukan seseorang itu Muslim atau sebaliknya. Inilah pada dasarnya yang membezakan Islam dengan agama yang lain. Namun, tidak juga mencukupi dengan hanya itu. Ada juga satu aspek lagi dalam kalimah syahadah ummat Islam yang bererti “Aku naik saksi Muhammad Rasul Allah”. Oleh itu, kalau ada sekalipun golongan yang mengEsakan Allah tetapi menolak keRasulan Nabi Muhammad (SAW), dia tetap bukan seorang Muslim. Termasuk dalam golongan ini kumpulan Qadiayani dan mungkin juga Sikh dan Yahudi.

Berdasarkan penghujahan yang dibentangkan di atas, jelas bahawa masalah kalimah Allah yang ingin digunakan oleh bukan Islam adalah masalah yang diada-adakan. Yang membeza Islam dan bukan Islam adalah konsep Tauhid dan keRasulan Nabi Muhammad (SAW) bukan kalimah Allah. Ini sebenarnya perkara asas dan wajib difahami oleh semua ummat Islam. Dengan kefahaman ini mereka mampu menangkis segala usaha untuk mengelirukan mereka (sekiranya ada) dengan penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam. Tanpa kefahaman ini, hakikatnya mereka sudah pun berada di dalam kekeliruan walaupun tiada pihak lain yang menggunakan kalimah ‘Allah’.

Dari sudut dakwah Islamiah, sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah maka ia memudahkan kita berdakwah kepada mereka. Melalui penggunaan kalimah yang sama ini, iaitu ‘Allah’ kita sudah mempunyai titik pertemuan dari mana untuk bertolak. Ini di dalam Al-Quran diistilahkan sebagai “ila kalimatin sawaain” atau ‘kepada kalimah yang sama’ dan metodologi dakwah sebegini yang telah digunakan oleh Rasulullah (SAW) berdasarkan perintah Allah yang terdapat di dalam Surah Al-Maidah ayat 64.

“Katakan (Wahai Muhammad); Wahai Ahli Kitab, marilah kepada kalimah yang sama di antara kami dan di antara kamu, iaitu kita tidak menyembah selain Allah dan janganlah kita mensyirikkanNya dengan sesuatu…”

Hakikat bahawa hanya ada satu Tuhan yang sama ditegaskan lagi dalam Surah Al-Ankabut ayat 46 yang bermaksud ;

“Dan jangan berhujah dengan golongan Ahli Kitab kecuali dengan cara yang terbaik dan jangan (berhujjah sama sekali) dengan yang Zalim di kalangan mereka. Dan katakan, Kami beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa yang telah diturunkan kepada kamu, dan tuhan kami dan tuhan kamu adalah satu, dan kami berserah kepadaNya.”

Sebenarnya isu ini merupakan sesuatu yang menguntungkan ummat Islam. Ia mampu menjelaskan kepercayaan Tauhid yang dibawa Islam di kalangan ummat Islam dan bukan Islam. Sambil itu ia membuka pintu dakwah kepada golongan bukan Islam, khususnya golongan ahli kitab.

Namun ianya sengaja dikelirukan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik mereka, untuk mencari titik perbalahan menakutkan ummat Islam dan mengelirukan ummat Islam dengan lebih lagi. Melalui kekeliruan ini mereka akan terus berkuasa, kerana rakyat yang keliru mudah ditipu dan dikuasai.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah


Taken from Dr Mohd Asri(Ex Mufti Of Perlis)  Blogs http://drmaza.com/home/?p=931

maza211.pngOleh : Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Seperti mana yang saya sebutkan dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Harap kenyataan ini dibaca bersama dengan artikel tersebut.

Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?!

Juga di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah. Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.

Jika kita jelas dalam persoalan akidah, tentu unsur-unsur seperti itu, pengaruh kristianisasi, unsur-unsur agama lain tidak dapat mengelirukan akidah dan pemikiran umat. Isu nama Allah ini sepatutnya menyedarkan kita keperluan menegaskan soal akidah dan batas-batas iman dan kufur.

Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sekadar mencadangkan beberapa pekara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;

  1. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkanNya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.
  2. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
  3. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.
  4. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.
  5. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.
  6. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Ini adalah beberapa cadangan saya mengenai hal ini untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.

Create a free website or blog at WordPress.com.